Followers

Saturday 6 August 2011

Ramadhan Bagi Wanita Yang Hamil Dan Menyusukan Anaknya




Oleh : Ustaz Rasul Dahri.

Wanita hamil dan menyusukan jika dikhuatiri menjejaskan janin, bayi atau si ibu, maka dibolehkan berbuka. Imam Daruquthni meriwayatkan di dalam sunannya dan mensahihkan sanadnya dari Ibn Abbas bahawasanya dia melihat Ummu Waladnya sedang hamil atau menyusukan, maka beliau berkata:

"Engkau termasuk orang-orang yang tidak mampu berpuasa, maka wajib atasmu mengeluarkan fidyah dan tidak wajib mengkhodokkanya."
(H/R : Ibnu Khuzaimah dalam Sahihnya no. 1996. Al-Ahkam (1/431-432). Sanadnya adalah sahih. Disahihkan oleh Al-Albanu dalam sahih Al-Jami' no. 5376)

Keterangan ini berdasarkan dalil-dalil syarie dan firman ALLAH

"Dan orang-orang yang tidak mampu berpuasa, hendaklah membayar fidyah, dengan memberi makan orang miskin." (Al-Baqarah : 184)

"Maka barangsiapa antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka berpuasalah pada hari-hari yang lain" (Al-Baqarah : 184)

Wanita yang hamil sering menghadapi kepayahan sebagaimana orang musafir. Dan wanita hamil termasuk dalam keadaan lemah (sakit) sebagaimana di jelaskan di dalam Al-Quran :

"Ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah (sakit) yang bertambah lemah dan menyapihnya (menyusukan) dalam dua tahun" (Luqman : 14)

"Sesungguhnya ALLAH Ta'ala telah mengugurkan atas orang musafir puasa dan setengah solat. Dan mengugurkan atas orang hamil dan menyusukan kewajipan berpuasa" 

(H/R : Tarimizi dalam Jami'nya no 713. Nasaii dakan sunannya (4/1780). Abu Daud dalam sunannya no. 3408. Ibnu Majjah dalam sunannya (1/533). Disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Daud (2/71)

Dari Ibnu Jarud dan Abu Daud sanad yang sahih :

"Telah ditetapkan untuk datuk atau nenek yang sudah tua jika tidak berdaya berpuasa, termasuk ibu hamil dan sedang menyusukan yang dikhuatiri keadaan keduanya supaya berbuka, kemudian memberi makan setiap hari seorang miskin."
(Al-Baihaqi (4/230). Abu Daud no. 2318. Ibnu Jarud no. 381. Dan hadis ini sanadnya sahih.)

Dari Malik dari Nafi', Ibnu Umar ditanya tentang wanita hamil jika ditakuti memberikan kesan buruk kepada bayi yang dikandungnya, beliau berkata :

"Berbuka dan gantinya memberi makan satu mud gandum setaip hari kepada seorang miskin." 
(H/R Al-Baihaqi (4/230). As-Sunan dari jalan Imam Asyafie sanadnya sahih.)

"Wanita hamil dan menyusukan boleh berbuka dan tidak mengqada puasanya." 
(H/R : Daruqutni (1/207)

Wanita hamil bertanya kepada Ibnu Umar Radiallahu Anhuma, beliau menjawab :

"Berbukalah dan berilah makan orang miskin setiap hari dan tidak perlu mengqada". 
(H/R : Daruqutni, sanadnya jayyid (bagus))

"Anak perempuan Ibnu Umar adalah isteri seorang Quraisy, dia hamil dan kehausan ketika berpuasa Ramadhan, Ibnu Umar memerintahkannya agar berbuka dan memberi makan fakir miskin."
(Sanadnya Jaiyid (bagus). Lihat Suffah Soum fi Ramadhan Salim Al-Hilali & Ali Hassan Ali.)

Menurut Ibnu Qudamah rahimahullah

"Tidak seorang sahabatpun yang pernah menentang fatwa Ibnu Abbas". 
(Lihat : Al-Mughni (3/21) Ibnu Qudamah.)

Dari penjelasan melalui dalil-dalil Al-Quran, hadis-hadis sahih, athar sahabat dan fatwa ulama mukhtabar, maka jelaslah bahawa wanita hamil dan menyusukan termasuk dalam hukum orang yang dibolehkan membayar fidyah dan tidak mengkhodokkan puasanya yang tertinggal.

Wallahu'alam.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Biodata
Ustaz Rasul Bin Dahri

Nama penuh Ustaz Rasul ialah Rasul bin Dahri bin Saem bin Mohsen. Ayahnya berketurunan Bugis dilahirkan di Indonesia dan ibunya berketurunan Cina lahir di Muar, Johor.

Ustaz Rasul bin Dahri dilahirkan di Singapura pada 27 Mei 1953. Beliau masih memegang kewarganegaraan Singapura, menetap di Johor Bahru, Johor, Malaysia. Dianugerahkan empat belas orang anak, tujuh lelaki dan tujuh perempuan, kesemua anak-anak dan isterinya berwarganegara Malaysia dan semua mereka menetap di Malaysia.

Beliau seorang pengusaha dan peniaga selain pendakwah bebas yang berdakwah di seluruh Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia. Menyebarkan dakwahnya melalui ceramah, tulisan, kaset, CD, VCD, You Tube, Paltalk atau internet.

Bekas penuntut Madrash al-Juned al-Islamiyah Singapura. melanjutkan pengajian ke Madrasah al-Masyhur al-Islamiyah, Pulau Pinang, Malaysia dan kemudian meyambung pengajiannya ke Ma’had al-Haram, Mekah al-Mukarramah. Belajar Bahasa Arab di Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi dan menuntut di Universiti Ummul Qura dalam bidang Syariah, Dakwah & Usuluddin. Beliau berada di Mekah, Arab Saudi selama sebelas tahun dari 1973 hingga tahun l984.

Semasa di Mekah, beliau sempat bersama Asy-Syeikh al-Muhaddis Abu Abdirrahman Mukbil bin Hadi al-Wadi’i di Ma’had al-Haram dan bersama asy-Syeikh Rabi’ bin Hadi al-Madkhali hafizahullah di Universiti Ummul Qura. Sempat juga berguru dengan beberapa orang syeikh semasa mereka mengunjungi (berada) di Mekah, iaitu di sekitar musim cuti, musim Haji atau di bulan Ramadan. Antara syeikh-syeikh yang sempat didampingi ialah asy-Syeikh Abdul Aziz bin Bazz dan asy-Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan hafizahullah.

Beliau juga pernah berguru (hampir setahun setengah lamanya) dengan asy-Syeikh Alwi al-Maliki (mengikuti pengajiannya di dalam Masjid al-Haram, Mekah dalam bidang hadis), iaitu sebelum beliau diharamkan mengajar di Masjid al-Haram, Mekah oleh pemerintah Arab Saudi.

Semasa di Mekah beliau dengan izin Allah telah sempat menimba ilmu dan bertalaqqi dengan beberapa masayeikh, antaranya ialah Syeikh Ahmad al-Mandili hafizahullah, Syeikh Yahya hafizahullah (dalam bidang ilmu-ilmu sanad, rawi dan jarah wa-ta’dil), mempelajari ilmu-ilmu tafsir, hadis, fikh, usul fikh, sirah dan ilmu-ilmu lain antaranya dari Syeikh Syaid Sabiq Syeikh Muhammad al-Ghazali, Muhammad Qutub hafizahullah, Syeikh Hasan al-Habannaka al-Maidani Syeikh at-Tantawi (penceramah radio Mekah) Syeikh Muhammad Mujahid as-Sawwaf dan asy-Syeikh Abdurrahman al-Yamani.

Alhamdulillah diberi kesempatan juga oleh Allah menghadiri kuliah-kuliah asy-Syeikh al-Muhaddis Muhammad Nasruddin al-Albani dan asy-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin di musim Haji dan di bulan Ramadan.

Semoga semua para masayeikh (syeikh-syeikh) semasa belajar di Mekah al-Mukarramah (Arab Saudi), juga guru-guru di Singapura semasa belajar di Madrash al-Juned al-Islamiyah dan guru-guru di Madrasah al-Masyhur semasa belajar di Pulau Pinang, Malaysia, agar mereka semua diberi oleh Allah anugerah syurga Firdaus dan sentiasa di dalam rahmat-Nya serta diluaskan kubur mereka bagi mereka yang telah pulang ke rahmatullah.

Hanya kepada Allah sahaja kita memohon semoga sentiasa memelihara keberkatan ilmu yang telah dianugerahkan kepada hamba-Nya dan pahala serta keampunan kepada mereka yang menyampaikan ilmu-ilmu mereka dengan penuh amanah dan keikhlasan. Amin Ya Rabal ‘alamin!

Semoga Allah ‘Azza wa-Jalla sentiasa merahmati, memberkati serta meredai segala usaha kita sekalian dalam jihad mengembangkan, mempertahankan dan mentarbiyah ummah ke jalan hidayah as-sahihah agar menjadi insan yang bertakwa kepada Allah ‘Azza wa-Jalla. Amin ya Rabbal ‘Alamin!


No comments:

Post a Comment