Followers

Monday 4 July 2011

Ummu Mukminin Aisyah RA





Ummul Mukminin
Aishah Binti Abu Bakr al-Siddiq
Oleh Ibn Kathir


Beliau merupakan salah seorang daripada isteri kesayangan Rasulullah saw. Beliau adalah wanita paling agung dan mendapat kedudukan tertinggi setaraf tujuh petala langit berbanding wanita lain. Ibunya bernama Ummu Rumman binti Amir ibn Uwaymir al-Kinaniyah. Beliau digelar Ummu Abdullah. Ada riwayat mengatakan, gelaran itu diberi oleh Rasulullah SAW sempena nama anak saudaranya, Abdullah ibn al-Zubayr.

Riwayat yang lain pula menceritakan kerana beliau adalah satu-satunya wanita yang dianugerahkan Allah SWT kepada baginda, lalu baginda memanggilnya sebagai Ummu Abdullah.

Rasulullah SAW tidak pernah berkahwin dengan anak dara sebelum ini kecuali dengan Aishah seorang dan tidak pernah wahyu diturunkan kepada baginda ketika bersama dengan seorang isteri kecuali ketika bersama dengan Aishah. Kerana penghormatan inilah, baginda amat menyayangi beliau. Baginda menikahinya di Makkah selepas Khadijah meninggal dunia. 

Peminangan Rasulullah SAW bermula selepas baginda bermimpi sebanyak dua atau tiga kali, didatangi seorang raja bersama seorang wanita berpakaian sutera menutupi seluruh tubuhnya. Raja itu berkata “Inilah isterimu, carilah dia kerana sesungguhnya memang dia diciptakan hanya untukmu”. Lalu baginda bersabda “Andai dialah jodoh yang telah ditentukan Allah untukku, aku akan sentiasa mensyukurinya.”

Selepas itu baginda segera menemui ayah Aishah yang juga sahabat baik baginda, Abu Bakr al-Siddiq untuk meminang anak beliau. Abu Bakr berkata “Wahai Rasulullah, adakah dia halal untukmu?” Jawab baginda “Ya! Sudah tentu”. Kerana masih sangsi, beliau bertanya lagi “Bukankah aku ini saudaramu?” Jawab baginda dengan tenang “Ya! Memang kita saudara, tetapi saudara dalam Islam dan anakmu adalah halal untukku”. Mendengar penjelasan itu Abu Bakr al-Siddiq sedia menikahkan Aishah dengan Rasulullah saw. Baginda hanya ‘menyentuh’ beliau setelah mencapai umur baligh (selepas haid).

Penulis telah menceritakannya pada permulaan sirah. Kisah ini berlaku pada tahun kedua Hijrah. Ada riwayat mengatakan setelah tiga tahun daripada peristiwa Hijrah dan ada pula mengatakan setelah setengah tahun berlalu. Aishah ketika itu hanya berusia 6 tahun, baginda hanya ‘bersama’ beliau setelah beliau berusia 9 tahun iaitu selepas Perang Badar dalam bulan Syawwal tahun kedua Hijrah.

Semasa heboh tentang cerita fitnah yang berlaku ke atas beliau, Allah SWT telah menurunkan lebih kurang 10 ayat al-Quran sebagai bukti kesucian beliau daripada perbuatan yang dibualkan orang itu. Penulis telah pun menjelaskan secara terperinci tentang ayat-ayat dan hadis berkenaan peristiwa tersebut dalam bab yang telah lepas dan secara khusus dalam bab yang menceritakan tentang Perang Muraysi’. Ringkasan kisahnya juga terdapat dalam beberapa kitab tafsir.

Majoriti para ulama telah bersetuju meletakkan hukum kafir ke atas sesiapa sahaja yang masih menuduh beliau sebagai penzina selepas turunnya ayat al-Quran yang berkenaan, tetapi mereka berbeza pendapat tentang Ummul Mukminin yang lain (kerana tidak ada ayat yang menyokong mereka). Perselisihan pendapat ini terbahagi kepada dua, sama ada kafir atau tidak. Pendapat yang paling tepat ialah dihukum kafir kerana yang tertuduh itu adalah isteri Rasulullah SAW dan Allah SWT pun pasti akan murka dengan perbuatan menghina isteri-isteri baginda. Oleh itu, kedudukan para isteri Rasulullah SAW adalah sama dan terpelihara.

Salah satu tanda dari kemuliaan Aishah ialah beliau sanggup membahagikan giliran hari bersama Rasulullah kepada Saudah semata-mata untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadah kepada Allah SWT. Tanda lain ialah beliaulah isteri yang sempat bersama-sama baginda ketika baginda sedang nazak dan di atas ribaan beliau jugalah baginda menghembuskan nafas terakhir.

Saat itu, terbukti betapa Allah SWT amat memuliakan Aishah kerana telah menghimpunkan air liurnya dan air liur baginda sama ada semasa hidup di dunia mahupun di awal permulaan hidup di akhirat. (Aishah telah menyuapkan sedikit buah rutab yang telah dikunyahnya

ke dalam mulut baginda ketika sedang nazak). Jenazah baginda telah dikebumikan didalam rumah Aishah sendiri.

Imam Ahmad berkata, Waki’ telah bercerita daripada Ismail daripada Mus’ab ibn Ishaq ibn Talhah daripada Aishah daripada Nabi SAW katanya “Sesungguhnya telah dipermudahkan ke atasku kerana sesungguhnya aku melihat cahaya putih (gebu) tapak tangan Aishah di dalam syurga”.

Hadis ini hanya diriwayatkan oleh Ahmad. Ini adalah sebagai tanda agungnya kasih sayang Rasulullah SAW terhadap Aishah kerana beliau telah melihat tapak tangan Aishah yang gebu didalam syurga.

Keistimewaan lain yang ada pada Aishah ialah beliau diperakui sebagai wanita paling berilmu berbanding isteri baginda yang lain malah wanita paling berilmu berbanding semua wanita dalam dunia.

Al-Zuhriy berkata “Andainya dibanding ilmu yang dimiliki Aishah dengan apa yang dimiliki oleh para isteri baginda yang lain atau semua wanita di dunia ini, nescaya lebih tinggi lagi kepakaran Aishah”

Atta’ ibn Abu Rabah pula pernah berkata “Aishah adalah wanita paling berilmu, paling faqih (memahami selok belok agama) dan memiliki idea yang bernas”

Urwah pula berkata “Aku tidak pernah melihat seorang yang paling faqih, paling baik dan paling indah syairnya selain Aishah. Juga tidak pernah seorang wanita ataupun seorang lelaki pernah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW dengan kadar yang sama seperti apa yang diriwayatkan oleh Aishah kecuali Abu Hurairah”

Abu Musa al-Ashariy pula berkata “Kami pernah tidak dapat menyelesaikan satu masalah dan apabila kami ajukan kepada beberapa orang sahabat baginda yang pakar dalam ilmu hadis, tidak ada sesiapapun yang dapat memberi jawapan kecuali Aishah RA”. Kisah ini ada dalam riwayat al-Tirmizi.

Abu al-Duha daripada Masruq pula pernah berkata “Aku pernah melihat seorang pakar ilmu dikalangan sahabat baginda datang menemui beliau (Aishah) bertanya tentang ilmu faraid”.

Terdapat satu hadis yang pernah diriwayatkan oleh beberapa orang ulama dan fuqaha tidak boleh dijadikan hujah kerana statusnya diragui dan tidak ada bukti dalam mana-mana buku sejarah Islam ia pernah dilafazkan oleh baginda. Hadis tersebut berbunyi begini “Lengkapkanlah sebahagian daripada agama kamu daripada si merah (Aishah) ini”.

Aku (penulis) juga pernah bertanya sendiri kepada guruku, Abu al-Hajjaj al-Maziy lalu katanya memang tidak ada asal-usulnya hadis tersebut.Berkenaan tentang anak muridnya pula, yang boleh dianggap paling cerdik antara semua wanita ialah Amrah binti Abd. Al-Rahman, Hafsah binti Sirin dan Aishah binti Talhah.

Aishah juga adalah satu-satunya wanita yang pernah diajukan beberapa masalah oleh para sahabat kerana masalah itu hanya Aishah yang dapat menyelesaikannya. Begitu juga tentang tafsiran mimpi dan pilihan jodoh, ramai yang lebih suka merujuk kepada beliau kerana ketepatannya.

Perkara ini diperakui oleh ramai tokoh ilmuwan, antaranya al-Sha’biy yang pernah berkata “Masruq kalau bercerita tentang Aishah, selalu beliau mulakan dengan wanita paling benar, anak kepada lelaki paling benar dan wanita paling suci mengalahkan tujuh petala langit juga kekasih Rasulullah SAW telah menceritakan kepadaku”

Sebuah hadis lain yang diriwayatkan dalam himpunan Sahih al-Bukhari daripada Osman al-Nahdiy daripada Amru ibn al-As katanya “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling kau sayangi?” Jawab baginda “Aishah”. Aku bertanya lagi “Dikalangan lelaki, siapa pula?” Jawab baginda “Ayahnya”. Dalam himpunan yang sama juga ada diriwayatkan daripada Abu Musa katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda “Telah sempurna kewujudan lelaki, tetapi kewujudan wanita tidak pernah sempurna kecuali setelah adanya Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid dan Asiah isteri Firaun, Aishah pula memiliki keistimewaan tersendiri umpama istimewanya al-Tharid (Sejenis makanan yang dianggap paling lazat dikalangan orang Arab) berbanding makanan lain”.

Hadis ini telah dijadikan bukti oleh majoriti ulama tentang kelebihan Aishah berbanding Khadijah. Ada pula yang menganggap dengan hadis ini, tiga wanita yang disebut itu memiliki keistimewaan tersendiri berbanding wanita lain. Hadis lain yang menyokong kenyataan tersebut ialah seperti apa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ismail ibn Khalil daripada Ali ibn Mushir daripada Hisham ibn Urwah daripada ayahnya daripada Aishah yang berkata “Aku telah menziarahi Halah binti Khuwailid adik Khadijah dengan izin Rasulullah saw lalu baginda tiba-tiba terkenang pada Khadijah dan berasa rindu terhadapnya, keluhnya, “Ya Allah, Halah!” Aishah berkata, “Aku berasa cemburu lalu berkata padanya, apalah yang nak dikenangkan sangat dengan wanita tua berbangsa Quraish berbibir merah tu. Dia dah lama mati dah! Bukankah Allah sudah menggantikannya dengan yang lebih baik?” Riwayat lain pula mengatakan “Demi Allah, sesungguhnya Dia telah mendatangkan aku sebagai ganti yang lebih baik?” tetapi tidak ada sandaran yang kukuh tentang perawinya. Sebelum ini telah diterangkan secara terperinci dalam bab kewafatan Khadijah. Begitu juga tentang hujah-hujah kelebihan Khadijah berbanding Aishah.

Al-Bukhari pernah meriwayatkan daripada Aishah sendiri bahawa pada suatu hari baginda telah berkata “Wahai Aishah, Jibril ini datang dan berkirim salam padamu” Lantas aku menjawab “Selamat sejahtera juga ke atasnya, kamu dapat lihat pula apa yang tidak dapat ku lihat”. Kisah lain tentang kelebihan Aishah ialah seperti yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari bahawa pada hari ulang tahun kelahiran Aishah, orang ramai datang membawa hadiah. Melihat keadaan itu, para isteri baginda pun berhimpun dan pergi mengadu kepada Ummu Salamah meminta supaya beliau menyampaikan kepada Rasulullah SAW agar baginda mengarahkan orang ramai tadi memberi hadiah kepada mereka juga. Ketika baginda pulang ke rumah Ummu Salamah,

aduan itu pun disampaikan tetapi baginda enggan berbuat demikian. Perkara tersebut berulang dua kali, akhirnya baginda pun bersabda kepada Ummu Salamah “Wahai Ummu Salamah, janganlah menyakiti hatiku dengan mengungkit sesuatu yang berkaitan dengan Aishah. Sesungguhnya hanya ketika bersamanya sahajalah aku pernah menerima wahyu berbanding kamu semua”.

Ada pula riwayat mengatakan mereka meminta Fatimah anak baginda supaya menyampaikan hasrat itu, lalu katanya kepada baginda “Sesungguhnya para isteri ayah meminta keadilan seperti apa yang telah ayah lakukan kepada anak perempuan Abu Bakr ibn Abu Qahafah”. Baginda terus menjawab “Wahai anakku, adakah kamu sayang apa yang aku sayang?” Jawab Fatimah “Ya, sudah tentu”. Baginda menambah “Kalau begitu sayangilah dia (Aishah)”. Kemudian mereka meminta Zainab binti Jahsh pula. Beliau pun segera bertemu Rasulullah dan ketika itu Aishah ada bersama lalu beliau terus mengutarakan hasrat tersebut dengan mengeji Aishah, perbuatannya didengar oleh Aishah. Aishah yang sejak tadi hanya mendengar terus berbincang secara tenang dengan Zainab hinggalah ke malam. Rasulullah SAW memandang Aishah lalu berkata “Sememangnya dia anak Abu Bakr”.

Penulis (Ibn kathir) juga pernah menyebut tentang kisah Ammar memarahi seorang lelaki yang telah mencaci Aishah. Kisahnya lebih kurang begini, suatu hari semasa dalam tempoh Perang Jamal, Ammar keluar berkempen dan mengajak orang ramai untuk memerangi Talhah dan al-Zubair. Dia dan al-Hasan ibn Ali telah naik ke atas mimbar di Kufah, ketika itulah beliau telah terdengar seorang lelaki telah mencaci Aishah lalu katanya kepada lelaki tersebut “Diamlah kamu wahai orang yang keji lagi terkutuk!” Sesungguhnya dia adalah isteri Rasulullah SAW di dunia dan di akhirat. Allah sengaja mengizinkan peristiwa itu berlaku untuk melihat di kalangan kamu yang beriman dengan Allah dan siapa yang taat kepada Aishah pula”.

Imam Ahmad bercerita daripada Muawiyah ibn Amru daripada Zaidah daripada Abdullah ibn Khuthaym daripada Abdullah ibn Abu Malikah daripada Dhakwan pelindung Aishah bahawa Abdullah ibn Abbas telah meminta izin daripada Aishah untuk datang, lalu beliau pun datang di hadapan Abdullah, anak kepada abangnya Abd. Al-Rahman lalu aku berkata “Ini Ibn Abbas, beliau datang untuk berziarah”. Aishah berkata “Jauhkan dia daripadaku” Lalu Abdullah berkata “Wahai Ibu, sesungguhnya Abbas ini adalah sebaik-baik anak lelakimu. Beliau selalu berkirim salam kepadamu dan sentiasa juga mengucapkan selamat tinggal”. Aishah menjawab “Izinkanlah dia masuk jika kamu suka” Ketika sedang duduk, beliau bertanya kepada Aishah “Adakah sebarang berita gembira untukku”. Aishah menjawab “Dengan apa pula”. Lalu beliau menambah “Bukankah tidak ada yang menjadi penghalang antara kamu dengan Rasulullah SAW dan para sahabatnya kecuali mati. Kamu pula adalah wanita yang paling disayangi Rasulullah SAW dan sememangnya baginda tidak salah menyayangi orang. Kamu jugalah yang telah kehilangan kalung lalu menyebabkan Rasulullah dan kaum muslimin ditimpa kemarau sehingga akhirnya Allah menurunkan ayat berkenaan tayammum sebagai pemudah. Allah juga telah menurunkan ayat daripada tujuh petala langit melalui Jibril yang menceritakan tentang kesucianmu, lalu bergemalah pada

setiap masa, siang dan malam disetiap masjid alunan bacaan dan khutbah menyebut tentangnya”.

Aishah terus mencelah “Sudahlah wahai Ibn Abbas, demi Allah aku akan menjadi orang lalai dengan pujianmu itu”. Sebenarnya banyak lagi hadis yang menceritakan tentang kelebihan beliau.

Aishah meninggal dunia pada tahun 58 Hijrah, riwayat lain mengatakan setahun sebelumnya ada pula setahun selepasnya, tetapi yang mahsyur ialah bulan Ramadhan atau Syawal tahun tersebut (58 Hijrah). Harinya pula jatuh pada malam hari Selasa bersamaan 17 Ramadhan. Beliau sempat berwasiat agar jenazahnya dikebumikan ditanah perkuburan Baqi’ pada waktu malam.

Tokoh yang turut menyembahyangkan jenazah beliau ialah Abu Hurairah iaitu selepas solat witir. Orang yang terkemuka yang turut mengiringi jenazah beliau antaranya ialah Abdullah dan Urwah, anak al-Zubair ibn al-Awwam, adiknya Asma’ binti Abu Bakr, al-Qasim dan Abdullah, anak abangnya Muhammad ibn Abu Bakr dan Abdullah ibn Abd. Rahman ibn Abu Bakr.

Ketika meninggal dunia, usianya 67 tahun kerana semasa baginda SAW wafat, beliau baru berusia 18 tahun, umurnya ketika tahun Hijrah pula 18 atau 19 tahun. Wallahua’lam. Semoga Allah SWT meredhai mereka sekeluarga.



=================================================
Sumber : al-Bidayah Wa an-Nahayah jilid 8 mukasurat 137-141 karangan Abu al Fida’ al-Hafiz Ismail Ibn Kathir

No comments:

Post a Comment