Followers

Tuesday 13 September 2011

Salam Ukhuwwah




Kita lihat pada zaman kini, pada masyarakat kita yang terkenal dengan sifat berbudi bahasa dan berakhlak mulia yang akhirnya semakin hari ditelan zaman, semakin terhakis sifat mulia-mulia ini. Berapa ramaikah di antara kita yang sentiasa tegur-menegur pada zaman kini? Dengan kehebatan teknologi dan kecanggihan alat-alat komunikasi, sungguh mudah untuk berkenal-kenalan dengan orang yang jauh hatta sehingga di benua lain.

Tetapi, yang di hadapan mata kita? Sesama kita, orang-orang Muslim, yang telah pun diketahui pada zaman ini semakin lemah dan rapuh persaudaraannya. Apakah kita tidak bersatu? Hendak menegur antara satu sama lain pula sudah menjadi perkara yang sangat ganjil dan aneh dalam masyarakat kita. Sebenarnya, dengan hanya memberi salam, sebuah ukhuwwah persahabatan mampu terjalin.

Dianjurkan bagi setiap orang beriman agar menyebarkan salam antara satu sama lain. Dan hal ini setiap ucapan salam hendaklah mengikuti cara salam yang menurut syarak. Memadai dengan ucapan:

السَّلَامُ عَلَيْكُم- (Salam untuk kamu)

السلام عليكم وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَتُه- (Salam untuk kamu serta rahmat dan keberkatan dariNya)

السلام عليكم ورحمة الله وبركته وَمَغْفِرَتُه-
(Salam untuk kamu serta rahmat dan keberkatan dan pengampunan dariNya)

Memberi salam hukumnya SUNNAH tetapi menjawab salam hukumnya WAJIB sebagaimana perintah Allah Azza Wa Jalla di dalam Al Quran dan perintah RasulNya dalam hadis-hadis sahih. Allah berfirman,

﴿وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَآ أَوْ رُدُّوهَآ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ حَسِيباً﴾
“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan (salam), maka balaslah penghormatan (salam) itu dengan yang lebih baik atau balaslah dengan yang serupa. Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu.” (Surah An-Nisa’:86)

Di dalam sebuah hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW telah bersabda dalam memerintahkan agar menjawab setiap ucapan salam yang telah menjadi kewajipan setiap orang yang beriman agar menjawabnya. Sabda baginda,

Dari Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Kewajipan seseorang Muslim terhadap seorang Muslim ialah lima: Iaitu membalas salam, melawat orang sakit, mengiringi jenazah, menyahut jemputan dan mengucapkan (Yarhamukallah kepada saudaranya yang bersin). (HR Bukhari dan Muslim)

Antara tanda-tanda hampirnya kejadian kiamat ialah ramainya orang-orang yang hanya suka untuk mengucapkan salam kepada orang-orang yang dikenali sahaja.

Keadaan ini telah terjadi dan dapat kita saksikan dalam kalangan masyarakat Islam, kebanyakannya mereka hanya senang mengucapkan salam kepada orang-orang yang dikenali sahaja.

Menurut hadis sahih, antara penyebab seseorang masuk syurga ialah banyak mengucapkan salam kepada orang yang dikenali dan orang yang tidak dikenali. Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya antara tanda-tanda telah hampirnya hari kiamat ialah manusia tidak suka mengucapkan salam kepada orang lain kecuali kepada orang yang dikenali sahaja”. (HR Ahmad dalam Musnad Ahmad (5/326).

Rasulullah SAW juga telah bersabda bahawa antara amalan yang boleh mendekatkan seseorang ke syurga, berkasih saying antara satu dengan yang lain dan amalan orang beriman ialah menyebarkan salam. Baginda bersabda,

“Dari Abu Hurairah RA beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman dan tidaklah kamu beriman sehinggalah kamu saling mencintai antara satu sama lain. Tidakkah kamu suka aku tunjukkan kepada sesuatu apabila kamu melakukannya kamu akan saling mencintai? Iaitu sebarkanlah salam di antara kamu.” (HR Muslim, kitab Al-Iman, bab Bayan Annahu Laa Yadkhulul Jannata Illa Al-Mu’min (2/35))

Maka, marilah kita bersama-sama tebarkan salam kepada sesiapa kita jumpa, yang kenal mahupun tidak. Bukankah kita ingin kembali bersatu seperti dahulu? Mulakanlah dengan pemberian salam, berkenal-kenalan dan tubuhkan ukhuwwah persahabatan dan kemudian kukuhkan ia. Dengan itu kita mampu untuk menguatkan persaudaraan sesama kita. Beramah mesra, memberi senyuman yang manis dan berakhlak mulia. Itulah sikap dan ciri-ciri seorang Muslim dan Muslimah yang sejati. Al Quran dan As Sunnah sebagai cara hidup kita.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment