Followers

Thursday 23 June 2011

Perbalahan membawa musibah




"Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah,yang menyebabkan kamu menjadi gagal (gentar) dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah.Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" (Al-Anfal:46)

Pengajaran ayat:


1.Ayat ini mengandungi perintah agar mentaati Allah dan Rasulnya,diikuti dengan larangan agar jangan bantah membantah,dan selanjutnya menyuruh kita bersabar,sambil menegaskan bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar
.Ayat ini juga menerangkan bahawa kesan nyata dari bantah membantah atau berbalah antara sesama kita umat Islam akan menyebabkan kita ditimpa kegagalan dan hilang kekuatan.Sungguh tepat bidalan orang-orang tua:Bersatu kita kokoh,bercerai kita roboh.

2.Ketaatan dalam Islam membawa makna melaksanakan,dan meninggalkan.Maksudnya:Ketaatan kepada Allah dan RasulNya sangat bergantung sampai dimana suruhan dilaksanakan dan larangan ditinggalkan.Jadi belum sempurna ketaatan seorang melainkan jika dilakukan kedua-duanya.Contoh:dia melakukan solat,puasa,zakat,haji,umrah,banyak membaca Al-Quran,menutup aurat,tetapi akhlaknya tidak baik,masih makan rasuah,meminum arak dan lain-lain.Atau sebaliknya:Dia tinggalkan arak,zina,rasuah,tetapi pada masa yang sama tidak melaksanakan suruhan Allah dan RasulNya.Ketaatan baru sempurna jika suruhan dibuat dan larangan dijauhi.

3.Ketaatan anda belum sempurna kepada Allah dan RasulNya,walaupun anda banyak melakukan amal ibadat dan kebajikan jika pada masa yang sama anda suka berbalah dan bertengkar,apalagi suka menjadi batu apai yang memarakkan perbalahan terjadi dalam tubuh umat Islam.Jika sikap ini subur dalam tubuh umat Islam,maka kesan nyatanya umat Islam akan ditimpa musibah,antaranya umat akan gagal dan lemah.Kekuatan mereka akan hilang dan tidak digeruni musuh.Musuh-musuh Islam sangat suka jika kite berpecah belah sehingga mudah bagi mereka untuk menakluk dan menguasai kita.Ketika itu anda mesti bertanggungjawab dihadapan Allah.

4.Diantara punca perbalahan ialah kerana terlalu mengikut hawa nafsu,taksub atau fanatik kepada mazhab tertentu atau tuan guru sehingga hilang pertimbangan dan akhirnya menolak kebenaran.Selain itu juga kerana kedangkalan ilmu agama,akhirnya dengan mudah melontar tuduhan dan tohmahan sesuka hati kepada pihak yang tidak sehaluannya dengannya.Sungguh tepat bidalan Arab "Seseorang selalu memusuhi apa yang dia jahili".Diantara punca perbalahan juga sikap ego dengan pandangan sendiri,hasad dengki dan tidak senang jika ada orang lain yang boleh mengatasinya.Selain itu juga,punca perbalahan kerana kurang faham tentang adab-adab berbeza pendapat,sehingga mendorongnya untuk melupakan kebaikan seseorang hanya kerana kesilapan yang sedikit.

5.Pada akhir ayat di atas Allah SWT menyuruh kita bersabar ini memberikan isyarat bahawa cara yang paling tepat mengatasi fenomena tersebut ialah dengan banyak-banyak bersabar.Sikap dan sifat sabar sangat tinggi ganjarannya disisi Allah.Banyak masalah boleh diatasi melalui sabar.Makna asal perkataan sabar adalah menahan diri.Dan sabar yang dituntut dalam islam bukan terbatas hanya sabar jika menghadapi dugaan atau ujian Allah,tetapi ada lagi jenis sabar yang lebih tinggi darjatnya disisi Allah.Jadi untuk megatasi sikap suka berbalah,anda mesti memiliki dan mempertebalkan sifat sabar.Antaranya:Jangan cepat melatah lalu menggelar rakan kita yang berbeza pendapat dengan gelaran-gelaran yang anda sendiri benci mendengarnya seperti: tidak sunnah,pembuat bid'ah,fasiq,munafiq,lebih-lebih lagi sampai mengkafirkan..

No comments:

Post a Comment